Penglibatan Tun Dr Mahathir Mohamad Dalam Politik

Penglibatan Tun Dr Mahathir Mohamad Dalam Politik

Penglibatan Dr. Mahathir di dalam arena politik tidak begitu ketara dalam tahun-tahun 1950an disebabkan beliau masih menuntut di Universiti. Walau bagaimanapun, beliau terus menulis esei dan komentar mengenai isu-isu sosio-politik negara di akhbar The Straits Times. Perletakan jawatan sebagai doktor kerajaan pada tahun 1957 telah membolehkan Dr. Mahathir bergiat semula didalam bidang politik. Beliau telah dipilih untuk bertanding pada pilihanraya negeri tahun 1959, tetapi menolaknya.

Semasa pilihanraya umum tahun 1964, Dr.Mahathir diberi kepercayaan menjadi calon dan seterusnya berjaya memenangi kerusi Parlimen Kota Setar di atas tiket Parti Perikatan. Bermula dari sinilah beliau menempa nama di kalangan masyarakat dan senario politik negara.Selepas memenangi pilihan raya umum pada tahun 1964, Dr. Mahathir dilantik sebagai Ahli Parlimen. Bagaimanapun, beliau hilang kerusi pilihan raya umum berikutnya iaitu pada tahun 1969.

Tun Dr Mahathir Mohamad Dalam Umno

Kecenderungan dan minatnya yang mendalam dalam bidang pendidikan membolehkan beliau dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pendidikan Tinggi yang pertama tahun 1968, Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Tinggi pada tahun 1972, Member Of the University Court and University of Malaya council serta Chairman of the National University Council pada tahun 1974. Dr. Mahathir Mohamad  dilantik sebagai Senator pada tahun 1974. Beliau melepaskan jawatan ini untuk membolehkannya bertanding pada pilihan raya umum tahun 1974 yang mana beliau menang tanpa bertanding.

Berikutan daripada pilihanraya itu, Dr. Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran. Sebagai Menteri Pelajaran, langkah pertama dalam perancangan beliau adalah mengubah polisi pendidikan negara supaya ianya menggambarkan usaha-usaha ke arah menghapuskan kemiskinan dan mewujudkan keadilan untuk semua dan memastikan semua individu diberi peluang membaiki taraf hidup mereka. Sepanjang menjadi Menteri Pelajaran, beliau mengekalkan pembaharuan seperti peluang yang lebih kepada anak Melayu melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi, mengubah kuota kemasukan, dan beberapa kriteria kemasukan ke pusat-pusat tersebut, mengadakan biasiswa dan menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Tun Dr Mahathir Mohamad Dalam Arena Politik

Beliau juga bertanggungjawab meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1975 yang ditentang oleh ahli akademik dan mereka yang terlibat dengan pendidikan. Akan tetapi sebagai seorang yang berdisplin dan tegas beliau berjaya melenyapkan kritikan terhadap polisi-polisi pendidikan. Kini semua pusat pengajian tinggi diuruskan di bawah Panduan Kementerian Pendidikan.Kemenangan beliau di dalam pertandingan kerusi Naib Presiden dalam Perhimpunan Agong UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) tahun 1975 telah menyumbang kepada kejayaan politik beliau.

Berikutan kembalinya Tun Abdul Razak ke Rahmatullah dan perlantikan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-3 dan Presiden UMNO, Dr. Mahathir telah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dimasa yang sama menjadi Timbalan Presiden Parti.Daripada jawatan Menteri Pendidikan, Dr. Mahathir berpindah ke Kementerian Perdagangan dan Industri dalam tahun 1978. Beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Kabinet dimana beliau tidak putus-putus menggalakkan perdagangan dan pelaburan asing.Kemenangan Dr. Mahathir dalam pilihanraya umum tahun 1978 telah membolehkan beliau mengekalkan jawatannya di dalam kabinet dan parti. Akhirnya, pada 16 Julai 1981 berikutan perletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Hussien Onn atas sebab kesihatan, Dr. Mahathir telah dipilih menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang ke- 4 pada usia 55 tahun.